Friday, July 15, 2011

HAK-HAK WANITA ISLAM - HAK ISTERI DALAM PERKAHWINAN - SIRI 5

SHARING IS CARING
Sumber dipetik dari Jabatan Pembangunan Wanita
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Perkara-perkara yang perlu anda KETAHUI...

Gambar adalah hiasan semata-mata

1) Apakah HAK ANDA sebagai seorang isteri?
Seseorang isteri itu adalah berhak kepada :
  • Nafkah zahir dan batin
  • Kasih sayang dari suami
  • Hak untuk mendapatkan keadilan
2) Apakah yang dimaksudkan dengan NAFKAH?
Nafkah zahir ialah perbelanjaan yang wajib dikeluarkan oleh suami terhadap isteri seperti :
  • Makan dan minum
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Perubatan; dan
  • Pembantu rumah sekiranya perlu
Nafkah Batin ialah keperluan seksual yang perlu dipenuhi oleh pasangan suami isteri yang sah.

3) Bilakah nafkah boleh dituntut?
Nafkah boleh dituntut pada bila-bila masa semasa perkahwinan masih berlangsung

4) Berapakah KADAR nafkah?
Kebiasaannya kadar nafkah adalah berdasarkan kepada keperluan, kemampuan dan kedudukan kewangan suami.

5) Bilakah hak nafkah seorang isteri itu GUGUR?
Hak nafkah seorang isteri itu boleh gugur apabila Mahkamah Syariah mengisytiharkannya nusyuz.

6) Apakah yang dimaksudkan dengan NUSYUZ?
Nusyuz ialah keengganan isteri untuk menurut kemahuan dan perintah suami seperti menjauhkan diri dari suami, meninggalkan rumah suami atau enggan berpindah bersama suami tanpa sebab yang sah mengikut Hukum Syara'.

7) Adakah seseorang isteri itu berhak untuk MENERIMA SEMULA NAFKAH apabila dia tidak lagi nusyuz?
Ya. Seseorang isteri itu adalah berhak untuk menerima nafkahnya sebaik sahaja dia bertaubat dan tidak lagi nusyuz setelah diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

8) Bilakah tempoh PENERIMAAN nafkah akan tamat?
Tempoh penerimaan nafkah akan tamat apabila :
  • Kematian suami atau isteri; dan
  • Isteri diisytiharkan nusyuz oleh Mahkamah Syariah.
9) Apakah yang dimaksudkan sebagai NAFKAH TERTUNGGAK?
Nafkah tertunggak ialah nafkah yang tidak dibayar atau tidak diberi oleh suami bermula dari tarikh perkahwinan mereka atau bermula dari tarikh tertentu sepanjang perkahwinan mereka.

10) Bolehkah isteri MENUNTUT tunggakan nafkah?
Ya, isteri boleh menuntut tunggakan nafkah di Mahkamah Syariah mengikut peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam.

11) Apakah yang dimaksudkan dengan POLIGAMI?
Poligami ialah perkahwinan seorang lelaki dengan lebih dari seorang perempuan dan tidak melebihi 4 orang dalam sesuatu masa sebagaimana yang ditetapkan oleh Hukum Syara'.

12) Apakah hak-hak isteri yang berpoligami?
Isteri-isteri yang dipoligami adalah berhak untuk mendapat layanan yang adil daripada suami mereka mengikut Hukum Syara' serta ketetapan Undang-Undang Islam negeri masing-masing.

13) Adakah hak ISTERI PERTAMA sama dengan hak isteri-isteri yang lain?
Ya, hak isteri pertama adalah sama dengan hak isteri-isteri yang lain.

14) Apakah yang BOLEH DILAKUKAN oleh isteri sekiranya suami berlaku tidak adil?
Sekiranya suami berlaku tidak adil, isteri boleh membuat pengaduan kepada Mahkamah Syariah dibawah Seksyen 128, Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

15) Apakah hak isteri apabila mengetahui suaminya telah berpoligami tanpa kebenaran mahkamah?
Seorang isteri boleh membuat pengaduan kepada Mahkamah Syariah dibawah Seksyen 123, Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

16) Apakah hak isteri yang telah ditinggalkan langsung oleh suami?
Seorang isteri yang telah ditinggalkan langsung oleh suami boleh membuat pengaduan kepada Mahkamah Syariah dibawah Seksyen 120, Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

No comments:

Post a Comment