Tuesday, July 12, 2011

HAK-HAK WANITA ISLAM - MAS KAHWIN - SIRI 3

SHARING IS CARING
Sumber dipetik dari Jabatan Pembangunan Wanita
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Perkara-perkara yang perlu anda KETAHUI...

1) Apakah yang dimaksudkan dengan MAS KAHWIN?
Mas Kahwin ialah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syara' oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan samada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang atau sesuatu yang dapat dinilai dengan wang

Firman Allah SWT..
" dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan sukahatinya memberikan kepada kamu sebahagian mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian yang halal itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya "

Surah An-Nisa' : Ayat 4

2) Adakah wanita BERHAK meletakkan jumlah mas kahwin?
Ya. Wanita berhak untuk meletakkan jumlah mas kahwin mengikut kemampuan bakal suami berdasarkan jumlah asas yang telah ditetapkan oleh kerajaan setiap negeri.

3) Bilakah mas kahwin perlu dibayar?
Mas kahwin biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya dihadapan orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu dan disaksikan oleh sekurang-kurangnya 2 orang saksi  .

4) Sekiranya pihak pengantin lelaki tidak mampu membayar mas kahwin, bolehkah ianya dibayar secara berhutang?
Boleh, mas kahwin boleh dibayar secara berhutang.

5) Apakah perbezaan di antara mas kahwin, wang hantaran dan pemberian?
  • Mas Kahwin ialah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah hukum syara' oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan samada berupa wang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan cagaran atau tanpa cagaran atau berupa sesuatu yang dapat dinilai mengikut hukum syara'.
  • Wang Hantaran ialah pembayaran belanja kahwin yang tidak diwajibkan dibayar dibawah hukum syara' oleh suami kepada isteri atau pihak isteri tetapi lebih kepada amalan masyarakat setempat.
  • Pemberian ialah hadiah samada berupa wang atau barang-barang yang diberikan oleh seseorang suami kepada isteri pada masa perkahwinan.
6) Siapakah yang berhak ke atas mas kahwin?
Isteri adalah berhak ke atas mas kahwinnya dan mas kahwin itu adalah hak mutlak isteri dan suami tidak berhak ke atasnya melainkan isteri dengan rela hati memberikan kepada suaminya.

7) Sekiranya suami GAGAL membayar hutang mas kahwin kepada isterinya dan telah menjatuhkan talak ke atas isterinya, bolehkan isteri menuntut mas kahwin tersebut?
Boleh. isteri boleh mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut mas kahwin melalui Mahkamah Syariah.

8) Adakah terdapat had masa untuk isteri menuntut mas kahwin yang tertunggak itu?
Tidak, tunggakan mas kahwin yang masih belum dibayar tidak akan terhapus oleh had masa dan ianya boleh dituntut selagi mana ianya belum dilunaskan.

Jadual mas kahwin asas bagi negeri-negeri di Malaysia
Gadis / Janda
  • Wilayah Persekutuan - RM80 / RM40
  • Selangor - RM80 / RM40
  • Johor - RM22.50 / RM22.50
  • Melaka - RM40 / RM40
  • Negeri Sembilan - RM200 / RM100
  • Pahang - RM22.50 / RM22.50
  • Sarawak - RM120 / RM120
  • Sabah - RM100 / RM100
  • Perak/Kelantan/Terengganu/Kedah/Perlis/Pulau Pinang - Tiada ketetapan
Perhatian : Ini hanya sebagai panduan sahaja. Anda adalah dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat pakar sebelum mengambil tindakan.

No comments:

Post a Comment